Tuesday, December 25, 2007

Adakah solat hajat ada dalil?

Solat hajat didakwa tidak mempunyai sumber-sumber yang sahih untuk diamalkan oleh beberapa orang pensyarah universiti. Walaupun solat hajat sangat popular dikalangan pelajar-pelajar pondok dan masyarakat Melayu, [seperti membaca yasiin malam jumaat] namun amalan ini dipersoalkan kesahihannya.


Berikut adalah jawapan ustaz pondok pasir tumbuh:


"Adapun di dalam kitab fekah empat mazhab karangan Abdul Rahman al-Jaziri dalam kitabullsolah bahawa tidak ada qilaf. Yang menegaskan, disunatkan bagi mereka mempunyai hajat disyarakkan bahawasanya dia sembahyang dua rakaat. Walaupun hadis ini merupakan hadis yang dhaif tetapi ia boleh diamalkan pada kelebihan amalan, iaitu kelebihan seseorang atau kelebihan sesuatu, menggemarkan sesuatu perkara dan menakuti dan menjahui sesuatu perkara. Ia boleh diamalkan selagi hadis itu tidak maudu’. Hadis maudu’ ialah hadis yang direka-reka. Begitu juga dengan hadis yang bersangatan dhaif, maka kedua-dunya tidak boleh digunakan pada tiga perkara tadi.


Di dalam kitab Arba’ien (hadis 40) pula, Imam Nawawi berkata: “Para Ulama” telah bersepakat mengenai harus beramal dengan hadis dhaif pada kelebihan-kelebihan amalan”. Ijmak para Ulamak’ yang telah dinukilkan oleh Imam Nawawi ini merupakan bantahan terhadap mereka yang mengingkari keharusan beramal dengan hadis dhaif pada perkara tersebut. Inilah seperti yang diterangkan oleh Ibnu Hajar al-Haitami di dalam syarah kitab Arba’ien "


Hadith yang djadikan hujah untuk amalan solat hajat adalah hadith dhaif, sebab itulah hadith tersebut tidak diriwayatkan oleh kedua Imam tersohor; imam Bukhari dan imam Muslim.


Pada perenggan kedua pula dinyatakan keharusan beramal dengan hadith-hadith dhaif untuk perkara kelebihan amal.


Saya berpendapat hujah yang diberikan oleh ustaz tersebut telah menguatkan pendapat pensyarah tadi; bahawa amalan solat hajat tidak mempunyai nas atau dalil yang kuat. Selama ini saya hanya bertaqlid dengan amalan solat hajat kerana Tok Guru dan Tuan Guru pun sentiasa menyarankan menyarankannya. Setelah membaca dalil-dalil yang dikemukakan di dalam laman TKO, saya menjadi sangsi dengan amalan solat hajat ini.


Dalam beribadah kita memerlukan nas atau dalil yang sahih; dan hadith-hadith dhaif berperanan untuk menyokong atau menggalakkan amalan tersebut.

Contohnya; Amalan solat tarawih mempunyai nas sohih. Imam Bukhari dan Imam Muslim ada menyebut hadith berkenaan solat tarawih di dalam ktab shaih mereka berdua.

Hadith-hadith dhaif dan maudhu yang digunakan untuk menggalakkan amalan solat tarawih tidak membatalkan amalan itu bahkan memberi dorongan kepada pelakunya untuk beramal dengan lebih bersungguh.[masih banyak umat islam membaca hadith palsu berkait fadhilat tarawih yang dibaca setiap malam pada bulan Ramadhan].

Menggunakan hadith palsu adalah salah, namun kesalahan itu tidak memberi kesan apa-apa terhadap tuntutan solat tarawih kerana dalil solat tarawih begitu teguh.

Berbeza dengan dalil solat hajat yang dijelaskan oleh ustaz pondok tersebut; dalilnya dhaif.

Saya mengharapkan ustaz-ustaz yang lebih pakar untuk mejawab persoalan ini, bukan bergantung kepada kitab pondok yang selalu dipersoalkan kandungannya. Umat Islam hari ini makin peka dengan sumber dan rujukan yang berwibawa. Sekurang-kurang rujukan itu diambil daripada ktab muktabar [seperti al umm, al azkar] atau pendapat imam yang empat.

Jika terdapat hadith yang sahih berkait persolan ini, dan ada pihak tidak menerima kesahihannya, makan isu ini menjadi isu khilafiah. Kita berlapang dada dan kita cuba menggali nas dan dalil yang lebih kuat untuk memantapkan apa yang kita pegang.

Sesungguhnya, umat Islam hari perlu rajin merujuk dan membaca kerana belajar itu kewajipan setiap muslim dan muslimah.




mindamerdeka
manjung perak