Wednesday, January 16, 2008

Pas guna jenama Islam palsu raih pengaruh

Nakhaie Ahmad menulis: Pas guna jenama Islam palsu raih pengaruh
Date: Wednesday, March 03 @ 00:00:00

MYTTopic: MEDIA DI PASARAN di negara ini dan juga di luar negara, ada pelbagai barangan yang menggunakan jenama terkenal, tetapi, bukan barangan tulen keluaran syarikat sebenar yang memiliki jenama itu.

Syarikat lain telah menciplak pembuatannya secara tidak sah dan turut menggunakan jenama yang terkenal itu untuk meraih keuntungan dan yang menjadi mangsa ialah pembeli yang tertipu dengan jenama tertera pada barangan palsu itu.

Penipuan seperti ini, memang diketahui umum, walaupun kadang kala sukar untuk membezakan di antara asli dan palsu di pasaran. Kita mungkin mengetahuinya, sekiranya harga yang ditawarkan jauh lebih murah daripada harga barangan tulenJika kita mengetahui bahawa barangan berjenama itu tidak tulen, kita kurang terkilan kerana harganya murah. Tetapi jika harganya ditawarkan sama dengan barangan tulen dan kita dapati bahawa barangan yang berjenama itu palsu, tentulah rasa tidak puas hati kita akan meluap. Tetapi apakan daya, kita telah menjadi mangsa penipuan.

Sebagaimana barangan di pasaran, penipuan yang sama berlaku juga di pasaran pemikiran dan ideologi. Ada juga pemikiran-pemikiran palsu dikemukakan dengan menggunakan jenama tertentu secara palsu untuk menarik pengaruh dan menjualnya di pasaran politik.
Jenama paling menarik di kalangan masyarakat Islam ialah jenama Islam itu sendiri. Ideologi politik dan pemikiran jika diberikan jenama Islam, mudah diterima oleh masyarakat Islam. Sehinggakan pelbagai bidaah dan khurafat turut diterima oleh sebahagian daripada masyarakat Islam, kerana ada tahap Islam di dalamnya.

Tidak hairan jika jenama Islam digunakan untuk kempen merebut pengaruh politik di kalangan pelbagai parti politik dalam masyarakat Islam. Bahkan ada pelbagai usaha mencari wang dan kekayaan menerusi penyebaran ajaran-ajaran yang aneh dan pelik dengan menggunakan jenama Islam.

Ada yang menawarkan kemasukan ke syurga dengan cara mudah menerusi amalan tarikat tertentu dengan syarat membayar sejumlah wang sebagai sedekah dan sumbangan kebajikan yang boleh mendapat kelebihan kasyaf dan dapat melihat syurga dan neraka.

Parti politik yang mendaftar sebagai parti Islam, mempunyai kelebihan di dalam usaha menarik pengaruh di kalangan masyarakat Islam. Ini kerana jenama Islam itu sendiri, telah memikat hati kebanyakan orang. Lebih menarik lagi jika gagasan politik dan pemikiran yang dikemukakan oleh parti itu dikatakan daripada ajaran Islam.

Sesuatu pemikiran dan ideologi yang dikemukakan akan lebih meyakinkan sekiranya disertakan dengan ayat-ayat al-Quran dan hadis. Dengan cara itu, bukan saja penyajiannya menarik, tetapi menimbulkan rasa takut, sekiranya pemikiran dan ideologi itu ditolak.

Jika pemikiran itu ditolak akan bererti menolak Islam. Apalagi dakyah parti berkenaan menyarankan perkara itu dalam kempen politik yang diadakan.

Di dalam Dokumen Negara Islam yang diterbitkan Pas, ada pemikiran palsu yang dilabelkan dengan jenama Islam atau yang berkaitan dengan Islam. Sama seperti barangan palsu yang dilabelkan dengan jenama barangan yang terkenal di pasaran.

Antara gagasan negara Islam yang dikemukakan dalam dokumen itu ialah pembentukan sistem pemerintahan yang berlandaskan syura berparlimen dan raja berperlembagaan. Ini adalah contoh kepalsuan yang menggunakan jenama yang ada kaitannya dengan Islam iaitu syura berparlimen.

Jenama itu mungkin menarik. Tetapi kepalsuannya adalah nyata kerana dalam kotak yang berjenama syura berparlimen itu tidak mengandungi apa-apa isi pun. Apakah yang dimaksudkan dengan syura berparlimen itu?

Apakah sistem syura itu bersamaan dengan demokrasi berparlimen atau berlainan sistem dengannya. Jika berlainan, apakah ia dikatakan syura berparlimen?

Jika syura berparlimen itu sama saja dengan demokrasi berparlimen, perubahan nama itu tentu ada muslihat tersendiri. Seolah-olah Pas akan menjalankan sistem yang tersendiri yang bukan sistem demokrasi, tetapi sistem syura. Tetapi pelaksanaannya serupa saja dengan sistem demokrasi berparlimen.

Masyarakat mungkin membayangkan sistem syura itu akan lebih sempurna dan baik kerana ia adalah sistem Islam. Tetapi apa yang hendak dilaksanakan oleh Pas ialah sistem demokrasi yang dijalankan sekarang. Pas cuma hendak menunjukkan kelainan, untuk menarik pengaruh.
Jika sistem syura berparlimen itu adalah sistem pemerintahan tersendiri yang dibangunkan oleh Pas, berdasarkan ajaran Islam, Pas perlu mengemukakannnya dan menjelaskan kepada masyarakat umum apakah sistem itu dan apakah perbezaan antara sistem syura berparlimen dengan demokrasi berparlimen yang berjalan sekarang ini.

Dengan menggunakan jenama Islam, sedangkan sistem yang menggunakan nama itu tidak pernah dikemukakan dan tidak pernah wujud, ia adalah satu penipuan. Wajarkah sebuah parti politik berjenama Islam, melakukan penipuan seperti ini?

Jenama Islam atau jenama yang berkaitan dengannya tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya, tanpa memberikan penjelasan yang benar hubung kaitnya sesuatu yang dinamakan sebagai Islam itu dengan ajaran Islam yang sebenar.

Ia berkaitan dengan maruah agama dan usaha menegakkan agama yang benar. Kepalsuan yang disebarkan dengan diberikan kepadanya label Islam, akan merosakkan kesucian agama Islam.
Keghairahan untuk menang dalam pilihan raya untuk berkuasa, tidak sepatutnya menjadi pendorong melakukan apa saja, termasuk menyebarkan kepalsuan atas nama Islam.

Kenyataan-kenyataan umum yang menggunakan nama Islam, tetapi tidak dijelaskan maksudnya secara jelas dan membiarkan perkara itu berada dalam kekaburan, adalah juga sebahagian daripada kepalsuan.

Orang mungkin tertarik kepada nama Islam yang dijadikan label. Tetapi kandungannya terus kabur dan dibiarkan kabur selama-lamanya untuk digunakan dalam dakyah. Perbuatan ini tidak sepatutnya dilakukan ke atas Islam sebagai agama yang nyata dan mempunyai mesej yang jelas.

Jika dikatakan negara Islam ialah negara berkebajikan, perlu sekali dijelaskan konsepnya. Apakah negara berkebajikan itu sama konsepnya dengan negara kebajikan yang dilaksanakan di Britain atau di beberapa negara Eropah.

Adakah, konsep negara berkebajikan itu mempunyai konsep tersendiri yang dibangunkan berdasarkan kepada ajaran al-Quran dan Sunnah. Membiarkan konsep negara berkebajikan itu, menjadi tanda tanya, adalah suatu perbuatan yang mengelirukan.

Islam mestilah dijadikan panduan di dalam berpolitik dan bukan memperalatkan Islam dalam permainan politik kepartian yang mengakibatkan berlakunya kepincangan dalam masyarakat dan memburukkan imej Islam.

Politik Islam yang sebenar bukan saja mendukung risalah Islam tetapi menghayati ajaran Islam di dalam semua kegiatannya dan mematuhi etika Islam dalam berpolitik.

Politik Islam sebenar mengajak setiap orang Islam bersaudara dan berusaha membina hubungan persaudaraan itu dalam realiti kehidupan umat. Politik yang memperalatkan Islam bekerja untuk menimbulkan perpecahan dan konflik di kalangan umat supaya boleh diambil kesempatan untuk meraih pengaruh dan merebut kuasa.

Politik Islam sebenar bergerak dan berjuang untuk mengukuhkan negara dan membina kekuatan supaya negara yang diperintah oleh masyarakat Islam menjadi contoh yang baik dan menyebarkan rahmat kepada rakyatnya.

Politik yang menggunakan jenama Islam sering bertindak melulu dan tidak menghiraukan kepentingan seluruh rakyat. Tindakannya sering menyumbangkan ke arah melemahkan negara dan rakyat dengan pelbagai tindakan yang menghalang penyertaan masyarakat dalam proses pembangunan negara.

Politik Islam sebenar berusaha mengembangkan ilmu pengetahuan dan melahirkan sistem terbaik untuk kemajuan pendidikan. Politik yang berjenama Islam, merosakkan sistem pendidikan dan mendirikan sekolah-sekolah yang serba kekurangan dan kelemahan dengan menggunakan jenama Islam, seperti sekolah Islam, tadika Islam dan sebagainya, tetapi tidak mempunyai sistem pendidikan yang sempurna dan berkualiti.

Pelbagai jenama Islam telah digunakan tanpa berdasarkan kajian dan penyelidikan yang teliti, sehingga nama Islam digunakan mengikut khayalan yang tidak berasaskan penelitian ilmu.
Apakah sekolah-sekolah Islam, parti Islam dan pergerakan Islam, benar-benar menjalankan kegiatan mereka berasaskan ajaran Islam yang difahami berdasarkan ilmu dan bukan hanya mengikut perasaan semata-mata? Inilah yang seharusnya diberikan perhatian oleh masyarakat apabila muncul pelbagai kegiatan yang berjenama Islam.

No comments: